16.4.10

Apa itu mesyuarat.

Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu dan apabila engkau telah berazam, maka bertakwalah kepada Allah. ”

(Ayat 159, Surah Al-Imran)

Dalam ajaran Islam, mesyuarat merupakan satu perintah Allah s.w.t. seperti yang tersebut dalam Firman-Nya yang tersebut di atas. Dalam firman tersebut , jelaslah bahawa bermesyuarat memang penting dalam amalan kehidupan masyarakat Islam.

Jadi, apakah sebenarnya mesyuarat?

Mesyuarat ialah satu aktiviti yang berdasarkan komunikasi dua hala antara individu dalam situasi formal. Mesyuarat diadakan dengan tujuan untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat, menyelesaikan masalah berbangkit, membuat keputusan, memberikan maklumat dan mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak.

Mesyuarat yang baik dikendalikan dalam suasana yang baik, bersopan dan beradab. Semua butir percakapan akan direkodkan untuk semakan, rujukan dan tindakan selanjutnya. Kejayaan sesuatu mesyuarat itu pula banyak bergantung pada persediaan dan penglibatan ahli-ahli yang hadir, sama ada sebagai pengerusi, setiausaha, bendahari, ahli biasa atau ahli yang diundang.